Saidina Hassan r.a berbeza pandangan politik dengan ayah beliau, Saidina Ali k.w.j. Penulis buku Cucu Rasulullah yang hilang, Dr. Nur Abdi Gudle memberitahu kerugian yang amat besar kepada Saidina Ali k.w.j kerana tidak menerima pandangan politik anaknya.
Ini adalah pandangan-pandangan politik dari Saidina Hassan r.a yang menegur ayahnya:
1. "Bukankah sebelum Uthman r.a terbunuh, saya sudah minta ayah keluar dari Madinah supaya Uthman r.a tidak terbunuh dalam keadaan ayah berada di Madinah, lalu menjadi buah mulut orang."
Inilah pandangan yang utama supaya Syaitan jin dan syaitan manusia tidak dapat menimbulkan syak wasangka dalam hati rakyat. Juga mengelakkan sangkaan mana-mana pihak bahawa Saidina Ali k.w.j bersekongkol dengan para pemberontak pencetus fitnah dan pembunuhan Saidina Uthman r.a.Mungkin juga ada tuduhan bahawa Saidina Ali k.w.j tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Saidina Uthman r.a dan memang inilah yang terjadi (tuduhan itu). Ramai dalam kalangan keluarga Bani Umaiyah berasa sangsi kepada Saidina Ali k.w.j.
Jika Saidina Ali k.w.j mendengar cadangan anaknya supaya meninggalkan Madinah, sudah tentu tidak akan timbul syak wasangka dan fitnah Ali k.w.j.
2. "Bukankah saya larang ayah berbaiah kepada orang ramai selepas pembunuhan Uthman sehingga penduduk setiap wilayah megutus baiah mereka."
Baiah Saidina Abu Bakar r.a disempurnakan atas persepakatan para sahabat utama dan dipersetujui majoriti sahabat lain. Kemudian, baiah Saidina Umar r.a dengan cara yang hampir sama.
Baiah Saidina Uthman r.a pula disempurnakan dengan ketetapan majlis syura yang dibentuk oleh Saidina Umar r.a.
Manakala baiah Saidina Ali k.w.j malang sekali kerana disempurnakan oleh para pemberontak mengikut perancangan mereka. Bahkan dengan ancaman seketika.
Saidina Ali k.w.j berada dalam kedudukan antara dua mudarat besar.
- Beliau menolak tuntutan para pemberontak, urusan umat menjadi kacau bilau. Ini tidak dapat diterima bulat-bulat oleh tokoh besar yang berjuang dan mengorbankan diri beliau demi umat dan agama ini.
- Beliau menerima tuntutan mereka dan baiah beliau disempurnakan dalam keadaan tangan mereka berlumuran darah Saidina Uthman r.a yang mati syahid dan dizalimi itu. Akibatnya beliau ditimpa keraguan dalam mendepani arus fitnah seperti yang berlaku selepas itu. Beliau merasai kepahitannya sehingga menjadi korban konspirasi mereka dan syahid di tangan zalim mereka.
3. "Ketika perempuan dan dua-dua laki ini keluar, saya minta ayah terus duduk di rumah sehingga mereka berdamai, tetapi ayah ingkar semuanya."
Begitulah kata Saidina Hassan r.a kepada bapa beliau dengan penuh dukacita. ini kerana, beliau tidak nampak sebarang hikmah dan maslahat pada tindakan Saidina Ali berangkat keluar sebaik sahaja Saidatina Aisyah, Az-Zubair, dan Talhah berangkat.
Tujuan tegahan beliau itu supaya tidak berlaku peperangan antara kaum Muslimin.
Demikianlah, Saidina Hassan r.a membantah tindakan ayah beliau keluar menjejaki Saidatina Aisyah dan tenteranya. Bantahan ini dipersetujui oleh orang ramai dalam kalangan orang-orang yang sezaman dengan beliau.
Ini antara 3 langkah bijak politik yang ditunjukkan oleh Saidina Hassan r.a. Perkongsian ini diambil dari buku Cucu Rasulullah Yang Hilang ditulis oleh Dr. Nur Abdi Guble. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang kisah Saidina Hassan r.a, anda boleh dapatkan buku ini sekarang.
Dr. Nur Abdi Guble adalah pensyarah di Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Beliau berasal dari Somalia. Berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam pemikiran Islam 'Siyasah Syar'iah' dari Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Beliau juga berkelulusan Sarjana dalam tafsir Al-Qur'an dan Hadith, Jabatan Tafsir dan Hadith, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Islamabad, Pakistan, juga kelulusan Sarjana Muda dalam Ilmu-Ilmu Syariah dan Sastera Arab, Darul Ulum Nadwatul Ulama', Lucknow, India.
Berminat untuk mendapatkan buku Cucu Rasulullah Yang Hilang? - Klik di sini